TUNTUTAN CIPAA 2012 - TANGGUNGJAWAB ADJUDIKATOR

apa itu cipaa

 TANGGUNGJAWAB ADJUDIKATOR DI DALAM PROSIDING CIPAA

1. Setelah seorang Adjudikator di pilih, samada secara pilihan bersama atau dipilih oleh Pengarah AIAC di atas permintaan mana-mana pihak, samada Pihak yang Menuntut atau Responden, Adjudikator tersebut perlu menjalankan tanggung jawab selaras dengan peruntukan Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012). 

2. Melalui pembacaan menyeluruh Akta, kita boleh simpulkan bahawa tanggungjawab seorang Adjudikator sebagaimana yang dinyatakan di dalam Akta, di antara lainnya, adalah seperti berikut:

(a) Seorang Adjudikator, seawal mendapat cadangan untuk dijadikan sebagai Adjudikator, perlulah menyatakan samada beliau bersetuju atau pun menolak cadangan tersebut di dalam masa yang telah ditetapkan.

(b) Sekiranya beliau bersetuju dengan perlantikan tersebut, seorang Adjudikator perlu menyatakan cadangan terma-terma perlantikan beliau, termasuklah cadangan fi yang perlu dibayar oleh pihak-pihak secepat mungkin dan memberi tempoh masa yang wajar dan munasabah untuk pihak-pihak membuat keputusan.

(c) Setelah terma-terma perlantikannya dipersetujui oleh pihak-pihak, seorang Adjudikator perlu membuat suatu perisytiharan secara bertulis, mengikut s.24 Akta bahawa beliau tidak mempunyai sebarang percanggahan kepentingan (conflict of interest) di dalam kes tersebut, beliau akan bertindak bebas, tepat dan mengikut waktu yang ditetapkan serta akan mengelak dari melakukan perbelanjaan yang tidak perlu dan juga beliau akan mematuhi prinsip keadilan asasi (natural justice).

(d) Seorang Adjudikator juga perlu menjalankan tanggungjawabnya selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada beliau di dalam s.25 Akta serta ruang lingkup bidang kuasa sebagaimana yang dinyatakan di dalam s.27 Akta.

(e) Seorang Adjudikator juga perlu memastikan bahawa setiap arahan yang diberikan adalah jelas dan di dalam tempoh waktu yang ditetapkan oleh undang-undang.

(f) Seorang Adjudikator juga perlu memastikan bahawa setiap satu tuntutan dan juga pembelaan adjudikasi yang dinyatakan di dalam kertas kausa diberi penilaian dengan sempurna dan saksama.

(g) Seorang Adjudikator itu tidak membuat keputusan secara tidak wajar melalui fraud (penipuan) dan suapan (rasuah).

(h) Seorang Adjudikator juga perlu menjaga kerahsiaan maklumat proses Adjudikasi melainkan pengecualian yang di tetapkan di dalam s.20 Akta.

3. Kenapakah perlaksanaan tanggungjawab ini penting dan perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak? Ianya berkait rapat dengan elemen keadilan asasi. Majoriti besar kes-kes yang terpaksa di rujuk ke Mahkamah adalah disebabkan oleh pihak-pihak mendakwa bahawa tanggungjawab ini tidak di jalankan mengikut kehendak Akta dan keadilan asasi telah dinafikan.

4. Oleh yang demikian, bukan sahaja Adjudikator perlu menjalankan tanggungjawabnya mengikut ketetapan undang-undang, malah pihak-pihak yang terlibat di dalam proses Adjudikasi juga perlu memberi perhatian terhadap tugas-tugas yang dijalankan oleh Adjudikator bagi memastikan keputusan yang diperolehi adalah keputusan yang adil dan saksama.  

CIPAA Kelantan


0 Komentar