Norco Consult (No. Pendaftaran Perniagaan: 202003312844 (AS0419436-A)) adalah sebuah wadah baru yang telah didaftarkan pada 27.10.2020, itu tidak dapat dinafikan. Namun dengan pengalaman lebih daripada 10 tahun bergelumang dengan medan penyelesaian pertelingkahan sebagai peguamcara, kami percaya bahawa kami boleh memberikan alternatif bagi khidmat nasihat dan konsultasi khususnya untuk tuntutan yang ingin dibuat dibawah Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 atau lebih dikenali sebagai CIPAA 2012. 

Undang-undang CIPAA 2012 adalah satu undang-undang yang baru diperkenalkan. Ianya mula berkuat kuasa pada 15 April 2014 dan masih lagi di dalam fasa perkembangan dan kefahaman yang giat sebelum ianya mencapai peringkat matang. Ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan dengan begitu sahaja.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi kami untuk turut sama mengikuti dan mempromosikan wadah penyelesaian pertelingkahan alternatif ini kepada firma-firma dan pemain-pemain industri pembinaan biarpun yang kecil medium ataupun gergasi di dalam industri melalui perkhidmatan kami. 
 



Visi kami, walaupun agak klise, adalah untuk memacu perkhidmatan kami ke taraf yang jauh lebih tinggi; tidak boleh tidak di dalam perniagaan, waima di dalam apa jenis perkhidmatan sekalipun, kami perlu merangka satu visi yang berjalan selari dengan iltizam/keinginan kami untuk lebih kreatif dan berinovasi dalam memberikan perkhidmatan yang lebih bermutu. Untuk itu, kami tidak mempunyai pilihan melainkan untuk memajukan diri dari segi pengetahuan dan logistik mengikut peredaran semasa.

Manakala misi kami pula adalah untuk memastikan perkhidmatan kami sentiasa berada selangkah di hadapan daripada pesaing-pesaing baru dan lama dengan memantapkan diri dari segi pengetahuan, pengalaman dan pemikiran. Selain itu, kami ingin memasti dan membuktikan bahawa perkhidmatan kami dapat dibuat dengan lebih pantas, efisien dan yang paling, sempurna selaras dengan keperluan undang-undang.  



Nec Aspera Terrent adalah cogan perkhidmatan kami. Ianya adalah frasa latin untuk "difficulties be damned". Persediaan untuk menyelesaikan pertelingkahan di antara dua (atau lebih) pihak yang bertelagah adalah seakan persediaan untuk melangkah ke dalam suatu medan tempur. Pihak-pihak perlu sentiasa bersedia dan yang pastinya melangkah ke dalam medan tempur tanpa persediaan adalah menempah jalan untuk gagal. Selaras dengan visi dan misi kami, perkhidmatan kami adalah untuk memastikan persediaan logistik dan strategi sebelum melangkah ke dalam medan dijalankan dengan sempurna dengan kesiagaan untuk menjangka apa yang tidak terjangka.