KAJIAN KES TUNTUTAN CIPAA 2012 - IREKA ENGINEERING AND CONSTRUCTION SDN BHD v PWC CORP SDN BHD

CIPAA melaka

 

KAJIAN KES TUNTUTAN CIPAA 2012 - IREKA ENGINEERING & CONSTRUCTION SDN BHD v PWC CORP SDN BHD

1. Kes ini adalah kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Oktober 2019. Kes ini sangat penting kerana kes ini menjadi panduan utama dan kata muktamad tentang persoalan yang sering diperdebatkan di kalangan pengamal undang-undang sejak Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012) diperkenalkan; adakah CIPAA tergunapakai untuk kontrak pembinaan yang dimasuki sebelum akta itu diperkenalkan dan dikuatkuasakan.

2. Kes ini, bersama satu lagi kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu kes Jack-In Pile (M) Sdn Bhd v Bauer (M) Sdn Bhd, telah menjadi kes penanda aras (landmark) terbaharu yang akhirnya memberikan kata putus kepada persoalan tersebut.

3. Sebelum daripada keputusan di Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ireka Engineering dan Jack-In Pile diperolehi, kes yang kerap menjadi panduan pengamal undang-undang adalah kes UDA Holdings Bhd dan Bisraya Construction yang telah dilaporkan pada tahun 2015 yang memutuskan bahawa CIPAA beroperasi secara retrospektif iaitu kebelakang.

4. PWC telah mendapat subkontrak-subkontrak daripada Ireka sebelum CIPAA berkuatkuasa. Di dalam setiap kontrak terdapat klausa yang membenarkan Ireka membuat set off silang kontrak (cross contract set offs) yang bermaksud apa sahaja jumlah bayaran yang perlu dibuat oleh PWC kepada Ireka boleh di set off untuk mana-mana tuntutan yang dibuat oleh PWC.

5. PWC telah memulakan prosiding Adjudikasi untuk bayaran yang tidak dibayar manakala Ireka memfailkan tuntutan balas untuk set off silang kontrak tersebut. Adjudikator telah membenarkan tuntutan PWC dan menolak tuntutan balas Ireka. Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan PWC untuk menguatkuasakan Keputusan Adjudikasi dan menolak permohonan Ireka untuk mengenepikannya. Ireka seterusnya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

6. Dapatan menarik yang dapat diperolehi daripada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes ini adalah seperti berikut:

(a) CIPAA boleh terpakai untuk keadaan berbilang (multiple) dan bersilang kontrak dan tidak terhad kepada satu kontrak sahaja.

(b) CIPAA terpakai secara prospektif (kehadapan) dan bukan retrospektif (kebelakang)

The CIPAA did not contain any express provision to say that Parliament intended it to operate retrospectively. hence, any construction contract entered into before the commencement of the CIPAA and any payment dispute arising under such contract were not governed by CIPAA.

(c) CIPAA bukan sekadar undang-undang yang memperkenalkan forum (platform untuk membuat tuntutan) baru, tetapi ianya undang-undang yang memberi kesan terhadap hak-hak substantif pihak-pihak yang terlibat. Oleh yang demikian CIPAA tidak boleh terpakai secara retrospektif yang akhirnya akan menafikan hak-hak subtantif pihak-pihak melalui kontrak yang ditandatangani sebelum penguatkuasaan CIPAA.

7. Mahkamah Persekutuan turut telah memberikan dapatan secara terperinci berkenaan dapatan Mahkamah Tinggi di dalam kes UDA Holdings.

8. Jadi kesimpulannya, apa sahaja kontrak pembinaan yang dimasuki sebelum CIPAA dikuatkuasakan, CIPAA tidak akan terpakai.

konsultan CIPAA

 


0 Komentar