CIPAA 2012 - BILA TUNTUTAN TIDAK BOLEH DIBUAT DIBAWAH CIPAA?

 

Apa itu CIPAA?

TUNTUTAN CIPAA - KEADAAN BILA CIPAA TIDAK TERPAKAI

1. Sebelum ini, kita cuba memahami di dalam keadaan yang bagaimana Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 ataupun Construction Industry Payment and Adjudication Act 2012 boleh diguna pakai. Kali ini, kita akan melihat salah satu keadaan bagaimana tuntutan tidak boleh dibuat di bawah CIPAA. Perlu diingatkan bahawa ianya tidak bermaksud tuntutan tidak boleh dibuat melalui medium alternatif yang lain seperti tuntutan melalui Mahkamah dan Arbitrasi.

2. S.3 Akta menggariskan bahawa CIPAA tidak terpakai bagi kontrak pembinaan yang dibuat oleh orang perseorangan bagi apa-apa pembinaan bangunan yang tingginya adalah tiga tingkat dan kebawah yang mana keseluruhan bangunan tersebut adalah untuk tujuan didudukinya sendiri.

Contoh: Ali telah melantik Norco Construction untuk membina ataupun membuat ubah suai keatas banglo dua tingkat yang didiaminya yang terletak di Ampang, Selangor. Norco Construction telah menyempurnakan keseluruhan atau sebahagian daripada projek pembinaan tersebut namun Ali telah gagal untuk membuat pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan yang telah  disempurnakan. Norco Contstruction tidak boleh membuat tuntutan pembayaran melalui CIPAA.

3. Mengapa Norco Construction tidak boleh membuat tuntutan melalui CIPAA? Kerana tuntutan tersebut terangkum (caught) dan terbelenggu didalam pengecualian yang diperuntukkan oleh s.3 Akta. Ini bermakna tuntutan Norco Construction tersebut adalah diluar bidang kuasa (jurisdiction) CIPAA. 

4. Walaupun begitu, Ali perlu menyatakan bantahan beliau seawal yang mungkin.

5. Pada bulan Ogos 2020, terdapat satu kes yang menarik perhatian berkenaan dengan interpretasi perkataan "occupation" yang termaktub di dalam s.3 Akta. Di dalam kes Liew Piang Voon v WLT Project Management Sdn Bhd, Plaintif telah memfailkan satu Saman Pemula untuk mendapatkan pengisytiharan Mahkamah bahawa tuntutan Defendan tidak boleh termasuk di dalam bidang kuasa CIPAA.

6. Apa yang berlaku adalah Plaintif telah melantik Defendan untuk menjalankan projek ubah suai ke atas banglo dua tingkat milik beliau dengan tujuan untuk menjadikan banglo tersebut sebagai pusat asuhan kanak-kanak yang akan diuruskan oleh anak perempuan Plaintif. Di atas dakwaan bahawa kerja yang di jalankan itu tidak memuaskan, Plaintif enggan membuat bayaran bagi kerja-kerja yang telah di jalankan.

7. Defendan melalui peguamcaranya, telah menyerahkan surat menyatakan niat untuk merujuk pertikaian tersebut kepada proses adjudikasi dibawah CIPAA. Isu utama yang diperdebatkan adalah interpretasi perkataan "occupation". 

8. Plaintif menghujahkan bahawa memandangkan tapak pembinaan tersebut adalah sebuah rumah banglo maka sebarang tuntutan melalui CIPAA adalah terhalang disebabkan s.3 Akta. Manakala Defendan pula mengusulkan pandangan bahawa s.3 tidak terpakai kerana tujuan ubah suai tersebut dijalankan adalah untuk membolehkan rumah banglo tersebut digunakan untuk tujuan komersial dan bukan untuk diduduki.

9. Hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes tersebut, Yang Arif Dato' Lim Chong Fong telah memutuskan seperti berikut:

After careful reading and deliberation, I find and hold that the word "occupation" in s.3 of the CIPAA should be literally interpreted based on its natural and ordinary meaning. There is no express restructive words that it must be for residential purposes only - thus the word "occupation" should be given its widest significance - consequently I further find and hold that s.3 of the CIPAA will be attracted even if the Premisses is occupied for use as commercial purposes such as running the kindergarten. 

10. Mahkamah telah menolak permohonan Plaintif tersebut dan memberikan dapatan bahawa Defendan boleh membuat tuntutan melalui CIPAA dan tidak terbelenggu (unshackled) oleh s.3 Akta kerana walaupun interpretasi "occupation" tersebut tidak dihadkan hanya untuk tujuan kediaman (residential) semata-mata dan turut termasuk sebarang tujuan komersial, s.3 tidak boleh digunapakai kerana rumah banglo tersebut akan diuruskan oleh anak perempuan Plaintif dan bukan dirinya sendiri.

11. Sebagai kesimpulan, untuk menggunakan s.3 Akta bagi mencabar keterpakaian CIPAA, kesemua syarat-syarat s.3 Akta perlu lah di penuhi. Untuk mendapatkan perincian lebih lanjut mengenai syarat-syarat tersebut, anda bolehlah berhubung dengan kami.  

CIPAA bumiputera


0 Komentar