CIPAA 2012 - MASIH DALAM FASA KEFAHAMAN & INTERPRETASI

 


CIPAA 2012 DI DALAM FASA PEMBENTUKAN & PEMBAIKAN

1. Setakat tarikh rencana ini ditulis, sebagai sebuah undang-undang yang baru berumur 6 tahun (dari tarikh kuatkuasa iaitu pada April 2014), CIPAA 2012 masih lagi di dalam fasa kefahaman, interpretasi dan pembentukan (molded) untuk menjadi sebuah undang-undang yang mantap. 

2. Sebagai sebuah undang-undang yang agak baharu, tidak boleh tidak akan terdapat kelompangan interpretasi yang perlu diisi yang mana tanggungjawab ini telah dipikul (seperti biasa) oleh badan Kehakiman yang bijaksana dan juga fraterniti peguam yang berwibawa.

3.Setiap tahun kita akan mendapati isu-isu penguatkuasaan dan gunapakai undang-undang di bawah CIPAA mula disempurnakan dan dimuktamadkan sedikit demi sedikit. 2019 melihat perkembangan yang cukup menarik untuk pembentukan dan pemahaman undang-undang CIPAA.

4. Malah pada penghujung tahun 2019 yang lalu, proses perundangan telah dapat memberikan kata putus terhadap salah satu di antara persoalan yang paling kontroversi melibatkan kebolehpakaian CIPAA; samada CIPAA harus digunapakai secara retrospektif (keterbelakang) atau prospektif (kehadapan).

5. Keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes-kes seperti Ireka Engineering & Construction v PWC Corp Sdn Bhd dan juga kes Jack-In-Pile (M) Sdn Bhd v Bauer (Malaysia) Sdn Bhd pastinya akan menjadi rujukan utama untuk menjawab persoalan tersebut. Malah impak kes-kes terdahulu seperti UDA Holdings Bhd v Bisraya Construction dan View Esteem Sdn Bhd v Bina Puri Holdings Bhd yang membuka jalan ke arah penyelesaian persoalan tersebut tidak seharusnya diketepikan.

6. Contoh lainnya adalah seperti kes Mahkamah Rayuan iaitu Guangxi Dev & Cap Sdn Bhd v Sycal Bhd yang di laporkan pada tahun 2019. Kes ini telah memberikan kata putus (buat masa sekarang) berkenaan kuasa Adjudikator dan penafian keadilan asasi (natural justice) dan kesannya terhadap sesuatu keputusan Adjudikasi.  

7. Selain itu kes Mahkamah Persekutuan seperti Mortego Sdn Bhd v Chew Sdn Bhd yang turut diputuskan pada tahun yang sama, telah membuka ruang dan bidang keterpakaian yang sangat luas kepada undang-undang CIPAA.

8. Insya Allah, sekiranya di izinkan, kita akan mengupas kes-kes di atas secara satu persatu di laman ini. Walau bagaimana pun, poin utama yang perlu kita ambil dari rencana ini adalah CIPAA adalah undang-undang yang muda dan baru. Ruang lingkup undang-undang itu sendiri sentiasa berubah dengan interpretasi-interpretasi baharu yang dimajukan. Pemain industri perlu mengambil peluang ini dengan menggunapakai platform ini dengan sebaik mungkin.

Konsultan CIPAA

  

  


0 Komentar