TUNTUTAN CIPAA 2012 - CARA DAN PROSES

tuntutan CIPAA

 BAGAIMANA UNTUK MEMBUAT TUNTUTAN MELALUI ADJUDIKASI CIPAA 2012? 

1. Pertama sekali pihak-pihak perlu membuat penilaian samada tuntutan yang dibuat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan melalui Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 atau CIPAA 2012 sebelum boleh membuat sebarang tuntutan. Rujuk konsultan atau peguam pilihan sekiranya perlu.

2. Syarikat atau pihak yang menuntut selepas itu bolehlah menyediakan dan menyerahkan Tuntutan Bayaran  kepada Syarikat yang Dituntut ataupun Responden. Responden boleh menjawab Tuntutan Bayaran dengan menyerahkan Jawapan Pembayaran. Pihak yang Menuntut perlu perlu memastikan kandungan Tuntutan Bayaran mengandungi butir-butir lengkap untuk mengelak dari sebarang masalah di fasa-fasa seterusnya, terutama sekiranya kesahihan Keputusan Adjudikasi dibawa ke Mahkamah.

3. Sekiranya tiada sebarang jawapan atau bayaran diterima oleh Pihak yang Menuntut di dalam tempoh masa yang ditetapkan, maka bayaran yang dituntut akan di anggap sebagai Bayaran yang Dipertikaikan.

4. Pihak yang menuntut boleh memfailkan Notis Adjudikasi di bawah CIPAA 2012 kepada Responden. Selepas tempoh waktu yang ditetapkan luput, Pihak yang Menuntut boleh memfailkan Notis Adjudikasi ke Pusat Arbitrasi (Asian International Arbitration Centre) bagi tujuan pendaftaran untuk Adjudikasi.

5. Setelah seorang adjudikator (yang berfungsi sebagai pengadil di mana beliau mempunyai kuasa di bawah s.25 CIPAA 2012 untuk melakukan apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai bagi maksud untuk menilai fakta dan dokumen sokongan tuntutan dan kemudiannya memberikan keputusan) dilantik, beliau akan menyerahkan Notis Penerimaan sebagai adjudikator dan menetapkan fi dan kos beliau.

6. Pihak yang Menuntut hendaklah menyerahkan Tuntutan Adjudikasi (Adjudication Claim) bersama dengan dokumen-dokumen sokongan mereka kepada Syarikat yang Dituntut dan Adjudikator. Syarikat yang Dituntut seterusnya boleh memfailkan Jawapan Adjudikasi (Adjudication Responce) bersama dokumen-dokumen sokongan kepada Syarikat yang Menuntut yang seterusnya boleh membalasnya melalui penyerahan Balasan Adjudikasi (Adjudication Reply). Kesemua dokumen-dokumen ini hendaklah diserahkan kepada pihak-pihak dan adjudikator di dalam masa yang tertentu dan yang telah ditetapkan. Sekali lagi, kandungan dokumen-dokumen ini perlu mengandungi butir-butir yang diperlukan untuk mengelak sebarang masalah.

7. Setelah membuat penilaian terhadap dokumen-dokumen yang telah diserahkan dan dilampirkan bersama, Adjudikator, selaras dengan s.25, boleh mengadakan pendengaran, mengambil keterangan, melantik pakar dengan persetujuan pihak-pihak atau melakukan pemeriksaan di tempat-tempat pembinaan, bahan-bahan pembinaan yang berkaitan ataupun melanjutkan sebarang tempoh masa sekiranya dirasakan perlu. 

8. Setelah berpuas hati, Adjudikator akan memberikan Keputusan Adjudikasi (Adjudication Decision) didalam tempoh masa yang ditetapkan.

9. Sekiranya keputusan berpihak kepada Pihak yang Menuntut, maka pihak tersebut boleh mendaftar atau menguatkuasakan keputusan tersebut sebagai Penghakiman melalui Mahkamah Tinggi ataupun membuat tuntutan terus kepada kontraktor prinsipal (sekiranya ada) untuk sub kontraktor. 

10. Keputusan Adjudikator akan mengikat pihak-pihak, walau bagaimana pun, Syarikat yang Dituntut boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan Keputusan tersebut selaras dengan s.15 CIPAA 2012 sekiranya keputusan tersebut di dapati diperolehi melalui penipuan (fraud) ataupun rasuah (bribery), ataupun terdapatnya penafian keadilan asasi (natural justice) ataupun adjudikator di dapati gagal bertindak secara bebas dan saksama (independently and impartially) dan diluar bidang kuasa beliau sebagai adjudikator. 

11. Perlu ditekankan bahawa, melainkan dipersetujui oleh pihak-pihak, mematuhi ketepatan masa di dalam kesemua proses penyediaan dan penyerahan dokumentasi adalah tersangat penting dan sangat perlu ditekankan.


0 Komentar