TUNTUTAN CIPAA 2012 - TUNTUTAN, RESPONS DAN JAWAPAN ADJUDIKASI

subkontraktor cipaa

TUNTUTAN ADJUDIKASI, RESPONS ADJUDIKASI & JAWAPAN ADJUDIKASI

1. Setelah Notis Adjudikasi diserahkan kepada Responden dan Adjudikator telah menerima perlantikannya (samada dilantik secara perlantikan bersama di bawah s.22(2) Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012) atau dilantik oleh Pengarah AIAC di bawah s. 23(2) Akta), di dalam jangka masa yang ditetapkan, Pihak yang Menuntut hendaklah menyediakan dokumen yang dinamakan sebagai Tuntutan Adjudikasi.

2. Selaras dengan s.9 Akta, Tuntutan Adjudikasi ini boleh dianggap sebagai dokumen yang mengembangkan Tuntutan Bayaran dan Notis Adjudikasi.  Pihak yang Menuntut boleh memberi butir-butir yang lebih terperinci ataupun bukti-bukti yang relevan untuk menyokong tuntutan mereka di dalam Tuntutan Pembayaran.

3. Di samping itu, Pihak yang Menuntut juga boleh menjawab apa sahaja pembelaan, tuntutan balas, set off dan juga tuntutan silang (cross claim) yang telah dibangkitkan oleh Responden di dalam Respons Pembayarannya terdahulu.

4. Walau bagaimanapun, Pihak yang Menuntut sudah tidak boleh membangkitkan apa-apa tuntutan baru atau tuntutan tambahan di dalam Tuntutan Adjudikasi ini. Kandungan Tuntutan Adjudikasi ini hendaklah hanya merujuk kepada kandungan Tuntutan Pembayaran semata-mata.

5. Tuntutan Adjudikasi ini hendaklah diserahkan kepada Pihak Responden mengikut tatacara penyerahan sebagai yang dinyatakan di dalam s. 38 Akta dan di dalam jangka waktu yang telah di tetapkan Akta. Sesalinan Tuntutan Adjudikasi juga perlu diserahkan kepada Adjudikator mengikut tempoh waktu yang sama. Sesalinan dokumen tersebut hendaklah turut dibekalkan kepada AIAC.

6. Setelah Responden menerima sesalinan Tuntutan Adjudikasi, Responden hendaklah menyediakan jawapan mereka di dalam bentuk Respons Adjudikasi.  

7. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam s.10 Akta, Respons Adjudikasi adalah dokumen yang menjawab setiap satu tuntutan yang terkandung di dalam Tuntutan Adjudikasi dan ianya perlu disertakan bersama dengan kesemua dokumen-dokumen sokongan yang ingin dirujuk oleh Responden untuk menyokong pembelaan dan jawapannya.

8. Sesalinan Respons Adjudikasi ini hendaklah diserahkan kepada Pihak yang Menuntut selaras dengan tatacara penyerahan di dalam s.38 Akta, mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan undang-undang. Sesalinan dokumen tersebut juga hendaklah diserahkan kepada Adjudikator di dalam tempoh masa yang sama. Sesalinan dokumen tersebut hendaklah turut dibekalkan kepada AIAC.

9. Adalah sangat-sangat penting Respons Adjudikasi ini diserahkan di dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh s.10 (1). Ini adalah kerana kegagalan menyerahkan Respons Adjudikasi boleh menyebabkan Pihak yang Menuntut meneruskan dengan proses Adjudikasi selepas tarikh penyerahan luput. Ini adalah sebagaimana yang diperuntukkan di dalam s.10 (3) Akta. 

10. Selepas menerima sesalinan Respons Adjudikasi daripada Responden, Pihak yang Menuntut diberi peluang untuk menyediakan dokumen yang dinamakan sebagai Jawapan Adjudikasi. Ini adalah selaras dengan peruntukan di dalam s.11 Akta.

11. Jawapan Adjudikasi adalah dokumen yang mengandungi jawapan balas Pihak yang Menuntut terhadap kesemua isu-isu yang dibangkitkan di dalam Respons Adjudikasi. Namun kandungan Jawapan Adjudikasi tersebut hendaklah terikat dengan isu-isu yang dibangkitkan di dalam Respons Adjudikasi sahaja. Ianya tidak boleh mengandungi sebarang tuntutan baru yang tidak dinyatakan di dalam Tuntutan Pembayaran.

12. Jawapan Adjudikasi bukanlah suatu dokumen yang wajib atau mandatori. Pihak yang Menuntut boleh memilih untuk tidak menyediakan dan menyerahkan Jawapan Adjudikasi sekiranya tuntutan yang disediakan telah dibuat secara menyeluruh dan tiada lagi dokumen-dokumen sokongan yang ingin dilampirkan.

13. Di dalam tempoh masa singkat yang dinyatakan oleh undang-undang, Jawapan Adjudikasi tersebut hendaklah diserahkan kepada Responden selaras dengan tatacara penyerahan di dalam s.38 Akta. Sesalinan juga hendaklah diserahkan kepada Adjudikator di dalam tempoh masa yang sama.

14. Selepas selesai penyerahan dokumen-dokumen ini kepada pihak-pihak yang terlibat termasuklah kepada Adjudikator maka berakhirlah fasa penyediaan dokumen-dokumen adjudikasi oleh kedua-dua pihak. Adjudikator akan menilai kandungan dokumen-dokumen ini dan akan menjalankan proses Adjudikasi sebagaimana yang difikirkan sesuai selaras dengan s.12 Akta.

peguam konsultan CIPAA


0 Komentar