NORCO CONSULT
  • Utama
  • ilmu legal
  • Kandungan
    • Pengenalan
    • Perkhidmatan
    • Hubungi

 

Apa itu CIPAA?

TUNTUTAN CIPAA - KEADAAN BILA CIPAA TIDAK TERPAKAI

1. Sebelum ini, kita cuba memahami di dalam keadaan yang bagaimana Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 ataupun Construction Industry Payment and Adjudication Act 2012 boleh diguna pakai. Kali ini, kita akan melihat salah satu keadaan bagaimana tuntutan tidak boleh dibuat di bawah CIPAA. Perlu diingatkan bahawa ianya tidak bermaksud tuntutan tidak boleh dibuat melalui medium alternatif yang lain seperti tuntutan melalui Mahkamah dan Arbitrasi.

2. S.3 Akta menggariskan bahawa CIPAA tidak terpakai bagi kontrak pembinaan yang dibuat oleh orang perseorangan bagi apa-apa pembinaan bangunan yang tingginya adalah tiga tingkat dan kebawah yang mana keseluruhan bangunan tersebut adalah untuk tujuan didudukinya sendiri.

Contoh: Ali telah melantik Norco Construction untuk membina ataupun membuat ubah suai keatas banglo dua tingkat yang didiaminya yang terletak di Ampang, Selangor. Norco Construction telah menyempurnakan keseluruhan atau sebahagian daripada projek pembinaan tersebut namun Ali telah gagal untuk membuat pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan yang telah  disempurnakan. Norco Contstruction tidak boleh membuat tuntutan pembayaran melalui CIPAA.

3. Mengapa Norco Construction tidak boleh membuat tuntutan melalui CIPAA? Kerana tuntutan tersebut terangkum (caught) dan terbelenggu didalam pengecualian yang diperuntukkan oleh s.3 Akta. Ini bermakna tuntutan Norco Construction tersebut adalah diluar bidang kuasa (jurisdiction) CIPAA. 

4. Walaupun begitu, Ali perlu menyatakan bantahan beliau seawal yang mungkin.

5. Pada bulan Ogos 2020, terdapat satu kes yang menarik perhatian berkenaan dengan interpretasi perkataan "occupation" yang termaktub di dalam s.3 Akta. Di dalam kes Liew Piang Voon v WLT Project Management Sdn Bhd, Plaintif telah memfailkan satu Saman Pemula untuk mendapatkan pengisytiharan Mahkamah bahawa tuntutan Defendan tidak boleh termasuk di dalam bidang kuasa CIPAA.

6. Apa yang berlaku adalah Plaintif telah melantik Defendan untuk menjalankan projek ubah suai ke atas banglo dua tingkat milik beliau dengan tujuan untuk menjadikan banglo tersebut sebagai pusat asuhan kanak-kanak yang akan diuruskan oleh anak perempuan Plaintif. Di atas dakwaan bahawa kerja yang di jalankan itu tidak memuaskan, Plaintif enggan membuat bayaran bagi kerja-kerja yang telah di jalankan.

7. Defendan melalui peguamcaranya, telah menyerahkan surat menyatakan niat untuk merujuk pertikaian tersebut kepada proses adjudikasi dibawah CIPAA. Isu utama yang diperdebatkan adalah interpretasi perkataan "occupation". 

8. Plaintif menghujahkan bahawa memandangkan tapak pembinaan tersebut adalah sebuah rumah banglo maka sebarang tuntutan melalui CIPAA adalah terhalang disebabkan s.3 Akta. Manakala Defendan pula mengusulkan pandangan bahawa s.3 tidak terpakai kerana tujuan ubah suai tersebut dijalankan adalah untuk membolehkan rumah banglo tersebut digunakan untuk tujuan komersial dan bukan untuk diduduki.

9. Hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes tersebut, Yang Arif Dato' Lim Chong Fong telah memutuskan seperti berikut:

After careful reading and deliberation, I find and hold that the word "occupation" in s.3 of the CIPAA should be literally interpreted based on its natural and ordinary meaning. There is no express restructive words that it must be for residential purposes only - thus the word "occupation" should be given its widest significance - consequently I further find and hold that s.3 of the CIPAA will be attracted even if the Premisses is occupied for use as commercial purposes such as running the kindergarten. 

10. Mahkamah telah menolak permohonan Plaintif tersebut dan memberikan dapatan bahawa Defendan boleh membuat tuntutan melalui CIPAA dan tidak terbelenggu (unshackled) oleh s.3 Akta kerana walaupun interpretasi "occupation" tersebut tidak dihadkan hanya untuk tujuan kediaman (residential) semata-mata dan turut termasuk sebarang tujuan komersial, s.3 tidak boleh digunapakai kerana rumah banglo tersebut akan diuruskan oleh anak perempuan Plaintif dan bukan dirinya sendiri.

11. Sebagai kesimpulan, untuk menggunakan s.3 Akta bagi mencabar keterpakaian CIPAA, kesemua syarat-syarat s.3 Akta perlu lah di penuhi. Untuk mendapatkan perincian lebih lanjut mengenai syarat-syarat tersebut, anda bolehlah berhubung dengan kami.  

CIPAA bumiputera


Apa itu CIPAA?
 

DEFINISI HARI BERKERJA MENGIKUT CIPAA 2012

1. Sepertimana yang kita sedia maklum, CIPAA 2012 adalah satu undang-undang baru yang masih di dalam fasa pemahaman dan interpretasi. Tanggungjawab ini telah dipikul oleh Mahkamah dan juga barisan peguam yang berwibawa menerusi kes-kes yang dikendalikan oleh mereka.

2. Salah satu definisi penting yang kerap dipandang remeh namun sebenarnya memberi impak yang sangat penting di dalam satu permohonan yang menjadikan masa sebagai asas adalah definisi dan interpretasi "Hari Berkerja".

3. Walaupun s.4 Akta telah memberikan definisi khusus kepada "Hari Berkerja" iaitu hari kalendar tidak termasuk hari minggu dan cuti umum di dalam negeri atau kawasan persekutuan mengikut lokasi tempat pembinaan (construction site) itu berada, namun interpretasi ini tidak terpakai kepada Adjudikator.

4. Di dalam kes Encorp Iskandar Development Sdn Bhd v Konsortium Ipmines Merz Sdn Bhd, hakim di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Yang Arif Datuk Wong Kian Kheong telah menetapkan bahawa definisi "Hari Berkerja" di dalam s.4 Akta tidak terpakai kepada s.12 (2) (a) dan (b) Akta.

5. S.12 (2) (a) dan (b) Akta menyatakan bahawa seorang Adjudikator perlu membuat dan menyerahkan keputusan terhadap apa-apa pertikaian di dalam masa 45 hari dari (a) tarikh penyerahan Respons Adjudikasi dan Jawapan Adjudikasi, yang mana terkemudian; atau (b) tarikh akhir tempoh penyerahan Respons Adjudikasi sekiranya dokumen tersebut tidak diserahkan.

6. Mahkamah menyatakan dapatan bahawa "Hari Berkerja" bagi maksud s.12 (2) (a) atau (b) Akta dikira berdasarkan di mana Adjudikator itu berkerja dan bukannya di mana tapak pembinaan tersebut berada seperti mana di dalam s.4 Akta.

7.  Apakah perbezaan yang dinyatakan dan mengapa definisi ini penting di dalam sesuatu tuntutan di bawah CIPAA 2012 serta impaknya di dalam permohonan untuk mencabar sesuatu tindakan Adjudikator? Hubungi kami untuk maklumat lebih lanjut. 

 

CIPAA consultant


 

 

kelebihan CIPAA

TUNTUTAN MELALUI CIPAA 2012; APAKAH KELEBIHANNYA BERBANDING PROSES MAHKAMAH DAN TIMBANG TARA?

1. Sepertimana yang kita sedia maklum, Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 ataupun Construction Industry Payment and Adjudication Act 2012, yang kita kenali sebagai CIPAA adalah satu Akta yang diwujudkan dengan tujuan untuk memudahkan pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan yang telah dilakukan. Fungsi utama CIPAA adalah untuk memudahkan.

2. CIPAA 2012 diwujudkan untuk melindungi kepentingan subkontraktor yang sebelum ini sentiasa mengharapkan belas ihsan kontraktor utama dan juga pemilik sesuatu projek pembinaan. Jadi CIPAA diformulasikan (formulated) untuk memperuntukkan satu bantuan terus (summary relief) kepada subkontraktor.

3. Ianya memberikan kemudahan untuk mendapatkan bayaran secara teratur dan mengikut waktu bagi tuntutan-tuntutan yang sah dengan tujuan untuk mengurangkan masalah aliran tunai (cashflow) di dalam industri pembinaan yang pada akhirnya akan memberi kesan terhadap ekonomi negara. 

4. Kita juga tahu bahawa sebelum CIPAA diperkenalkan dan dikuatkuasa pada 15 April 2014, mana-mana subkontraktor yang ingin membuat tuntutan bayaran daripada kontraktor utama untuk semua atau sebahagian kerja-kerja atau perkhidmatan pembinaan yang telah dilakukan, hanya mempunyai dua pilihan. Samada membuat tuntutan melalui Mahkamah ataupun melalui proses timbang tara.

Apakah sebenarnya kelebihan tuntutan melalui CIPAA berbanding tuntutan melalui Mahkamah atau melalui proses timbang tara? 

5. Kelebihan Tuntutan CIPAA yang pertama adalah keputusan tuntutan dapat diperolehi dalam masa yang lebih singkat. Walaupun proses tuntutan melalui adjudikasi CIPAA juga memerlukan penyerahan kertas-kertas kausa (pleadings) kepada pihak responden (syarikat yang dituntut) dan Adjudikator, waktu yang diperuntukkan untuk pihak-pihak menyerahkan jawapan balas adalah jauh lebih singkat. Malah Adjudikator juga perlu menyerahkan keputusan beliau didalam masa yang terhad.

6. Proses Mahkamah pada lazimnya memakan masa yang jauh lebih lama berikutan keperluan pihak-pihak untuk menyempurnakan penyampaian dan pemfailan kertas kausa dan proses mendapatkan keterangan saksi-saksi melalui proses bicara dan juga pemfailan hujahan-hujahan daripada pihak peguam. Ini tidak termasuk sekiranya mana-mana pihak perlu memfailkan apa-apa permohonan interlokutori yang akan memanjangkan lagi masa.  

7. Tanpa kewajiban proses bicara (kecuali dipohon oleh pihak-pihak atau dikira sebagai perlu oleh Adjudikator) ataupun permohonan interlokutori, pihak-pihak yang menuntut melalui CIPAA, tidak boleh tidak, akan mendapat keputusan terhadap tuntutannya di dalam jangka masa yang singkat.

8. kelebihan Tuntutan melalui proses Adjudikasi CIPAA yang kedua adalah ianya bersifat terus (summary). Tanpa kewajiban untuk melaksanakan proses mendapat keterangan saksi melalui proses bicara penuh, sebagaimana di Mahkamah, sesuatu keputusan Adjudikasi dapat diperolehi dengan hanya berpandukan dokumen-dokumen sokongan yang jelas. Ianya lebih kurang sama dengan proses untuk mendapatkan Penghakiman Terus (Summary Judgment) melalui Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

9. Sesuatu keputusan yang dibuat berpandukan dokumen semata-mata sudah pasti mempunyai pro dan kontra. Akan tetapi memandangkan objektif CIPAA, di antara lainnya, adalah untuk berfungsi sebagai platform untuk mendapatkan penyelesaian yang lebih cepat, maka di atas dasar itu lah kepercayaan penuh perlu di letakkan kepada para Adjudikator yang berkaliber untuk menjalankan tanggung jawab beliau.

10. Kelebihan adjudikasi CIPAA yang ketiga adalah dari segi kosnya yang jauh lebih murah. Umum mengetahui bahawa kos proses timbangtara lazimnya adalah sedikit tinggi. Kos untuk membuat tuntutan CIPAA pula adalah lebih munasabah. Apatah lagi yuran-yuran Adjudikator boleh dirunding, malah sekiranya yuran tersebut tidak dapat dpersetujui, skala yuran/fi standard Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia (AIAC) akan terpakai.

11. Kelebihan tuntutan melalui CIPAA yang keempat adalah pihak-pihak bebas untuk memilih untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran melaluinya. Ini adalah jauh lebih mudah berbanding dengan proses timbang tara yang memerlukan persetujuan kedua belah pihak atau memerlukan adanya satu klausa berkenaan timbangtara yang akan mengikat pihak-pihak terbabit.

12. Yang pastinya, tuntutan melalui CIPAA adalah satu alternatif yang tidak seharusnya diketepikan sebelum membuat keputusan akhir. Walaubagaimana pun begitu, proses tuntutan CIPAA tidak seharusnya diambil secara lewa. Di sini lah peri pentingnya fungsi para konsultan yang berwibawa di dalam memastikan setiap langkah dan proses yang dijalankan adalah selaras dengan ketetapan yang dinyatakan di dalam Akta.



 


View Esteem v Bina Puri

KAJIAN KES CIPAA 2012 - VIEW ESTEEM v BINA PURI HOLDINGS

Kes View Esteem v Bina Puri Holdings adalah sebuah kes yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada bulan November tahun 2017. Kes ini menjadi rujukan untuk isu tuntutan CIPAA yang melibatkan permasalahan bidang kuasa Adjudikator dan juga berkenaan dengan penggantungan keputusan Adjudikasi.

Di antara dapatan-dapatan menarik yang diputuskan oleh Mahkamah di dalam kes ini adalah seperti berikut:

(a) Mahkamah perlu membezakan keadaan di mana CIPAA adalah tidak terpakai dengan keadaan di mana CIPAA terpakai, tetapi Adjudikator yang bertindak dibawah CIPAA telah melangkau bidang kuasa beliau sebagaimana yang dinyatakan di s.15 (d) Akta tersebut. Perbezaan ini (in excess of jurisdiction or absolute lack of jurisdiction) adalah penting di dalam situasi di mana bidang kuasa adjudikator itu ingin di cabar di Mahkamah. Mahkamah telah memutuskan bahawa sekiranya pihak-pihak ingin mencabar keterpakaian CIPAA, ianya boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak semestinya semasa permohonan untuk mengenepikan sesuatu Keputusan Adjudikasi itu dibuat dan difailkan. 

b) Mahkamah juga telah memutuskan bahawa CIPAA tidak terpakai untuk sesuatu tuntutan interim yang mana tuntutan kumulatif nya telah dimulakan di Mahkamah atau melalui Arbitrasi/Timbangtara sebelum CIPAA berkuat kuasa melalui s.41 Akta. 

(c) Dengan memberikan definisi yang lebih luas kepada s.27 (a) Akta, Mahkamah telah memberikan dapatan bahawa sekiranya seseorang Adjudikator bertindak menolak untuk mengambil kira apa-apa pembelaan yang dikemukakan kepada beliau didalam Respons Adjudikasi, walaupun ia pada asalnya tidak dikemuka didalam Respons Pembayaran di bawah s.5 dan s.6 Akta, beliau adalah di anggap telah menafikan keadilan asasi (natural justice) di bawah s.15 Akta. 

(d) Ujian lazim yang diguna pakai bagi Mahkamah sebelum membenarkan sesuatu permohonan untuk menggantung sesuatu keputusan iaitu wujudkan keadaan yang khas (special circumstances), tidak seharusnya di gunakan. Untuk suatu permohonan untuk menggantung keputusan Adjudkasi dibawah s.16 Akta haruslah dinilai secara merit dari satu kes ke kes. 

(e) Mahkamah juga menyatakan bahawa sesuatu permohonan untuk menggantung keputusan adjudikasi di bawah s.16 Akta boleh difailkan bersama dengan sesuatu permohonan untuk mengenepikan keputusan Adjudikasi di bawah s.15 Akta. 

Rujukan kes: View Esteem Sdn Bhd v Bina Puri Holdings Bhd (2018) 2 MLJ 22 (FC)

kredit: https://norhafeezlaw.blogspot.com/2020/10/kajian-kes-tuntutan-cipaa-2012-view.html

peguam cipaa

 

tuntutan CIPAA

 BAGAIMANA UNTUK MEMBUAT TUNTUTAN MELALUI ADJUDIKASI CIPAA 2012? 

1. Pertama sekali pihak-pihak perlu membuat penilaian samada tuntutan yang dibuat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan melalui Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 atau CIPAA 2012 sebelum boleh membuat sebarang tuntutan. Rujuk konsultan atau peguam pilihan sekiranya perlu.

2. Syarikat atau pihak yang menuntut selepas itu bolehlah menyediakan dan menyerahkan Tuntutan Bayaran  kepada Syarikat yang Dituntut ataupun Responden. Responden boleh menjawab Tuntutan Bayaran dengan menyerahkan Jawapan Pembayaran. Pihak yang Menuntut perlu perlu memastikan kandungan Tuntutan Bayaran mengandungi butir-butir lengkap untuk mengelak dari sebarang masalah di fasa-fasa seterusnya, terutama sekiranya kesahihan Keputusan Adjudikasi dibawa ke Mahkamah.

3. Sekiranya tiada sebarang jawapan atau bayaran diterima oleh Pihak yang Menuntut di dalam tempoh masa yang ditetapkan, maka bayaran yang dituntut akan di anggap sebagai Bayaran yang Dipertikaikan.

4. Pihak yang menuntut boleh memfailkan Notis Adjudikasi di bawah CIPAA 2012 kepada Responden. Selepas tempoh waktu yang ditetapkan luput, Pihak yang Menuntut boleh memfailkan Notis Adjudikasi ke Pusat Arbitrasi (Asian International Arbitration Centre) bagi tujuan pendaftaran untuk Adjudikasi.

5. Setelah seorang adjudikator (yang berfungsi sebagai pengadil di mana beliau mempunyai kuasa di bawah s.25 CIPAA 2012 untuk melakukan apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai bagi maksud untuk menilai fakta dan dokumen sokongan tuntutan dan kemudiannya memberikan keputusan) dilantik, beliau akan menyerahkan Notis Penerimaan sebagai adjudikator dan menetapkan fi dan kos beliau.

6. Pihak yang Menuntut hendaklah menyerahkan Tuntutan Adjudikasi (Adjudication Claim) bersama dengan dokumen-dokumen sokongan mereka kepada Syarikat yang Dituntut dan Adjudikator. Syarikat yang Dituntut seterusnya boleh memfailkan Jawapan Adjudikasi (Adjudication Responce) bersama dokumen-dokumen sokongan kepada Syarikat yang Menuntut yang seterusnya boleh membalasnya melalui penyerahan Balasan Adjudikasi (Adjudication Reply). Kesemua dokumen-dokumen ini hendaklah diserahkan kepada pihak-pihak dan adjudikator di dalam masa yang tertentu dan yang telah ditetapkan. Sekali lagi, kandungan dokumen-dokumen ini perlu mengandungi butir-butir yang diperlukan untuk mengelak sebarang masalah.

7. Setelah membuat penilaian terhadap dokumen-dokumen yang telah diserahkan dan dilampirkan bersama, Adjudikator, selaras dengan s.25, boleh mengadakan pendengaran, mengambil keterangan, melantik pakar dengan persetujuan pihak-pihak atau melakukan pemeriksaan di tempat-tempat pembinaan, bahan-bahan pembinaan yang berkaitan ataupun melanjutkan sebarang tempoh masa sekiranya dirasakan perlu. 

8. Setelah berpuas hati, Adjudikator akan memberikan Keputusan Adjudikasi (Adjudication Decision) didalam tempoh masa yang ditetapkan.

9. Sekiranya keputusan berpihak kepada Pihak yang Menuntut, maka pihak tersebut boleh mendaftar atau menguatkuasakan keputusan tersebut sebagai Penghakiman melalui Mahkamah Tinggi ataupun membuat tuntutan terus kepada kontraktor prinsipal (sekiranya ada) untuk sub kontraktor. 

10. Keputusan Adjudikator akan mengikat pihak-pihak, walau bagaimana pun, Syarikat yang Dituntut boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan Keputusan tersebut selaras dengan s.15 CIPAA 2012 sekiranya keputusan tersebut di dapati diperolehi melalui penipuan (fraud) ataupun rasuah (bribery), ataupun terdapatnya penafian keadilan asasi (natural justice) ataupun adjudikator di dapati gagal bertindak secara bebas dan saksama (independently and impartially) dan diluar bidang kuasa beliau sebagai adjudikator. 

11. Perlu ditekankan bahawa, melainkan dipersetujui oleh pihak-pihak, mematuhi ketepatan masa di dalam kesemua proses penyediaan dan penyerahan dokumentasi adalah tersangat penting dan sangat perlu ditekankan.


Construction Industry Payment and Adjudication Act 2012

 CIPAA 2012 DAN KETERPAKAIANNYA DI DALAM MENYELESAIKAN PERTIKAIAN

1. Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012) adalah mekanisme atau platform alternatif untuk menyelesaikan sebarang pertikaian berhubung dengan pembayaran mengikut satu kontrak bertulis selama mana kontrak tersebut adalah berkenaan dengan kerja atau perkhidmatan dalam industri pembinaan. Apakah kerja atau perkhidmatan pembinaan? Baca DI SINI.

2. Pemakaian CIPAA telah ditetapkan melalui s.2 Akta yang menyebut bahawa CIPAA 2012 terpakai bagi setiap kontrak pembinaan yang dibuat secara bertulis untuk sesuatu kerja pembinaan yang dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya di dalam mana-mana wilayah di Malaysia.

3. S.3 Akta walau bagaimanapun telah menggariskan bahawa CIPAA 2012 tidak boleh digunakan sekiranya kontrak pembinaan yang ingin dirujuk itu di buat oleh orang persendirian yang membuat kerja pembinaan apa-apa bangunan kediaman persendirian yang tingginya 3 tingkat dan kebawah (maklumat lanjut baca DISINI).

4. Walaupun s.2 Akta menyatakan bahawa tuntutan melalui CIPAA 2012 turut terguna pakai untuk apa-apa kontrak kerajaan, namun s.40 Akta memberikan kuasa kepada Menteri untuk memberikan perintah pengecualian penggunaan CIPAA 2012 terhadap mana-mana pihak atau kontrak selaras dengan apa-apa syarat yang ditetapkan.

5.S.2 Perintah Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pengecualian) 2014 juga menyatakan bahawa terdapat kerja-kerja pembinaan kerajaan yang turut dikecualikan daripada pemakaian CIPAA 2012 selama mana ianya mengikut syarat-syarat yang telah dinyatakan di dalam Perintah tersebut.

6. Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Datuk Wong Kian Kheong, di dalam kes Uzma Engineering Sdn Bhd v Khan Co Ltd telah memberikan kesimpulan yang baik berkenaan dengan syarat-syarat pemakaian CIPAA 2012. Syarat-syarat tersebut adalah:

(a) wujudnya satu kontrak pembinaan selaras dengan definisi kontrak kerja dan konsultansi pembinaan yang dinyatakan di dalam s.4 CIPAA 2012 di antara pihak yang menuntut dengan responden;

(b) kontrak pembinaan tersebut dibuat secara bertulis;

(c) kontrak pembinaan tersebut hendaklah berkenaan dan berkaitan dengan kerja pembinaan selaras dengan definisi s.4 CIPAA 2012; dan

(d) kerja pembinaan tersebut telah dijalankan keseluruhan atau sebahagiannya di dalam negara Malaysia.

7. Firma-firma dan pemain industri pembinaan disarankan menggunakan platform ini dengan sebaik mungkin serta mendapatkan nasihat dan konsultasi daripada konsultan-konsultan serta peguam-peguam yang terlibat secara mendalam dengan CIPAA 2012.

peguam CIPAA 2012


 


CIPAA 2012 DI DALAM FASA PEMBENTUKAN & PEMBAIKAN

1. Setakat tarikh rencana ini ditulis, sebagai sebuah undang-undang yang baru berumur 6 tahun (dari tarikh kuatkuasa iaitu pada April 2014), CIPAA 2012 masih lagi di dalam fasa kefahaman, interpretasi dan pembentukan (molded) untuk menjadi sebuah undang-undang yang mantap. 

2. Sebagai sebuah undang-undang yang agak baharu, tidak boleh tidak akan terdapat kelompangan interpretasi yang perlu diisi yang mana tanggungjawab ini telah dipikul (seperti biasa) oleh badan Kehakiman yang bijaksana dan juga fraterniti peguam yang berwibawa.

3.Setiap tahun kita akan mendapati isu-isu penguatkuasaan dan gunapakai undang-undang di bawah CIPAA mula disempurnakan dan dimuktamadkan sedikit demi sedikit. 2019 melihat perkembangan yang cukup menarik untuk pembentukan dan pemahaman undang-undang CIPAA.

4. Malah pada penghujung tahun 2019 yang lalu, proses perundangan telah dapat memberikan kata putus terhadap salah satu di antara persoalan yang paling kontroversi melibatkan kebolehpakaian CIPAA; samada CIPAA harus digunapakai secara retrospektif (keterbelakang) atau prospektif (kehadapan).

5. Keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes-kes seperti Ireka Engineering & Construction v PWC Corp Sdn Bhd dan juga kes Jack-In-Pile (M) Sdn Bhd v Bauer (Malaysia) Sdn Bhd pastinya akan menjadi rujukan utama untuk menjawab persoalan tersebut. Malah impak kes-kes terdahulu seperti UDA Holdings Bhd v Bisraya Construction dan View Esteem Sdn Bhd v Bina Puri Holdings Bhd yang membuka jalan ke arah penyelesaian persoalan tersebut tidak seharusnya diketepikan.

6. Contoh lainnya adalah seperti kes Mahkamah Rayuan iaitu Guangxi Dev & Cap Sdn Bhd v Sycal Bhd yang di laporkan pada tahun 2019. Kes ini telah memberikan kata putus (buat masa sekarang) berkenaan kuasa Adjudikator dan penafian keadilan asasi (natural justice) dan kesannya terhadap sesuatu keputusan Adjudikasi.  

7. Selain itu kes Mahkamah Persekutuan seperti Mortego Sdn Bhd v Chew Sdn Bhd yang turut diputuskan pada tahun yang sama, telah membuka ruang dan bidang keterpakaian yang sangat luas kepada undang-undang CIPAA.

8. Insya Allah, sekiranya di izinkan, kita akan mengupas kes-kes di atas secara satu persatu di laman ini. Walau bagaimana pun, poin utama yang perlu kita ambil dari rencana ini adalah CIPAA adalah undang-undang yang muda dan baru. Ruang lingkup undang-undang itu sendiri sentiasa berubah dengan interpretasi-interpretasi baharu yang dimajukan. Pemain industri perlu mengambil peluang ini dengan menggunapakai platform ini dengan sebaik mungkin.

Konsultan CIPAA

  

  


tuntutan cipaa 2012

CIPAA 2012 DI DALAM BAHASA MUDAH.

1. Apa itu CIPAA 2012? Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (Construction Industri Payment and Adjudication 2012) atau lebih dikenali sebagai CIPAA 2012 yang berkuat kuasa pada 15.4.2014, telah diperkenalkan oleh Parlimen sebagai salah satu platform alternatif bagi menyelesaikan pertikaian (Alternative Dispute Resolution) berkenaan dengan kerja-kerja pembinaan yang telah disiapkan melalui satu proses yang dipanggil Adjudikasi. (Apa maksud Kerja Pembinaan? Baca DI SINI)

2. Sebelum CIPAA diperkenalkan, untuk menyelesaikan sebarang pertikaian, firma-firma industri hanya mempunyai dua pilihan sahaja, samada untuk membawa pertikaian mereka ke Mahkamah atau menyelesaikannya melalui proses Timbangtara. 

3. Proses perbicaraan kes di Mahkamah lazimnya mengambil masa yang lama dan prosiding timbang tara pula melibatkan kos yang tinggi dan hanya boleh dibuat sekiranya dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat. Dengan adanya CIPAA, ianya memberikan pilihan yang ketiga untuk menyelesaikan pertikaian.

Mahkamah atau Timbangtara atau Adjudikasi CIPAA? 

4. Sepertimana proses Mahkamah dan Timbangtara (arbitrasi), proses Adjudikasi adalah satu proses di mana suatu pertikaian di antara dua (atau lebih) pihak dibawa ke hadapan dan diputuskan oleh seorang Adjudikator. 

5. Ringkasan dan latar belakang legislatif CIPAA ini telah diterangkan dengan cukup mendalam dan terperinci oleh Yang Arif Dato' Mary Lim di dalam kes UDA Holdings Bhd v Bisraya Construction Sdn Bhd.

6. Pengenalan tuntutan melalui CIPAA ini pada asasnya adalah bertujuan untuk membantu masalah cash flow yang seringkali dihadapi oleh firma-firma industri, terutamanya sub kontraktor yang disebabkan oleh pertikaian pembayaran (payment disputes), samada pembayaran lewat, pembayaran yang tidak mencukupi ataupun lebih teruk, tiada pembayaran lansung.

7. Terlalu kerap kita mendengar permasalahan sub kontraktor pembinaan yang tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab kontrak disebabkan oleh kesukaran membuat pusingan dana.

8. Untuk menangani permasalahan tersebut, Kerajaan telah memperkenalkan CIPAA. Ianya adalah satu prosedur yang lebih mudah dan cepat  bagi menyelesaikan sebarang pertikaian yang melibatkan pembayaran untuk kerja kontrak (contractual work done), pembekalan bahan (material supply) dan perkhidmatan (services rendered) yang telah disempurnakan keseluruhan atau sebahagiannya di antara firma-firma yang terlibat di dalam industri pembinaan dan kontraktor. 

CIPAA lebih cepat?

9. Mengapa ianya lebih cepat dan mudah? Ini berikutan prosedurnya yang bersifat terus (summary). Prosedur bersifat terus/summary ini bermaksud ianya akan bergantung kepada dokumen-dokumen sokongan yang dilampirkan bersama tuntutan dan tidak melibatkan keperluan untuk mendapatkan keterangan saksi, yang selalunya memakan masa yang lama dan menelan belanja yang tinggi.

10. Tempoh masa yang telah ditetapkan oleh CIPAA untuk setiap tindakan termasuk pemfailan dan penyerahan kertas kausa serta keputusan yang perlu disediakan oleh Adjudikator adalah jauh lebih pendek berbanding sesuatu proses tuntutan yang dimulakan di Mahkamah.

CIPAA lebih efektif?

11. Setelah mendapat sesuatu perintah penguatkuasaan Keputusan Adjudikasi di Mahkamah, Pihak yang Menuntut bukan sahaja boleh menguatkuasakan keputusan tersebut terhadap Responden, bahkan boleh memohon pembayaran daripada Syarikat Prinsipal (principle employer) sekiranya Responden enggan mematuhi Keputusan Adjudikasi.

12. Malah di dalam keadaan dan kes tertentu, sesuatu Keputusan Adjudikasi juga boleh menjadi asas untuk menggulungkan sesuatu syarikat yang enggan mematuhi keputusan Adjudikasi.

13. Bukan itu sahaja, sub kontraktor yang mana Keputusan Adjudkasi berpihak kepadanya, boleh menggantung atau mengurangkan kadar kemajuan kerja yang masih berbaki sekiranya pembayaran tidak dibuat oleh Responden.

14. Melainkan Keputusan Adjudikasi itu diketepikan (set aside) ataupun perlaksaannya digantung (stayed), Responden tidak mempunyai pilihan lain selain daripada membuat pembayaran mengikut Keputusan Adjudikasi.

15. Firma-firma dan pemain-pemain industri pembinaan, tidak kira kecil, medium atau gergasi industri seharusnya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan hak-hak mereka melalui CIPAA.  

16. Untuk memahami kerangka kandungan Akta CIPAA boleh baca DISINI.

peguam cipaa




Catatan Terbaru Laman utama

RENCANA POPULAR

  • CIPAA 2012 - PEMAKAIAN DAN PENGGUNAAN
  • CIPAA 2012 - APA ITU CIPAA?
  • KAJIAN KES TUNTUTAN CIPAA 2012 - VISION DEVELOPMENT CONCEPT SDN BHD v LOW SHEH LING
  • TUNTUTAN CIPAA 2012 - PENDAFTARAN ADJUDIKASI
  • KAJIAN KES TUNTUTAN CIPAA 2012 - IREKA ENGINEERING AND CONSTRUCTION SDN BHD v PWC CORP SDN BHD

KATEGORI RENCANA

  • Kajian Kes 4
  • Rencana 19

ARKIB RENCANA

  • Januari 2021 (1)
  • Disember 2020 (6)
  • November 2020 (8)
  • Oktober 2020 (8)

CARIAN RENCANA

Pertanyaan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.


Hakcipta terpelihara. Tiada mana-mana bahagian dari laman ini boleh diterbit semula, dicetak, disalin dan disiar bagi apa-apa tujuan sekalipun tanpa kebenaran bertulis daripada pemegang hak cipta.

Copyright © NORCO CONSULT. Designed by OddThemes