TUNTUTAN CIPAA 2012 - TUNTUTAN DAN RESPONS PEMBAYARAN

tuntutan CIPAA

APA ITU TUNTUTAN PEMBAYARAN DAN RESPONS PEMBAYARAN?

1. Bagi subkontraktor yang ingin membuat tuntutan, persoalan utama adalah; bagaimana untuk memulakan tuntutan dibawah Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012)? Apakah langkah pertama yang perlu diambil? Apakah dokumen yang perlu disediakan? 

2. Setelah memastikan semua syarat-syarat yang ditetapkan bagi membolehkan sesuatu kes itu dituntut melalui CIPAA telah dipenuhi, dan kes itu tidak termasuk dibawah mana-mana pengecualian di bawah Akta, maka Pihak yang Menuntut boleh lah menyedia dan menghantar satu dokumen yang dikenali sebagai Tuntutan Pembayaran kepada Responden.

Apakah dia Tuntutan Pembayaran (Payment Claims)?

3. Apakah dia Tuntutan Pembayaran? Tuntutan Pembayaran adalah sejenis dokumen yang mengandungi, di antara lainnya, jumlah amaun yang ingin dituntut, butir-butir kerja-kerja atau perkhidmatan pembinaan yang telah disiap dan disempurnakan dan juga rujukan-rujukan kepada klausa-klausa yang terkandung di dalam Perjanjian Pembinaan yang memberi hak untuk membuat tuntutan pembayaran dibuat secara terperinci. . 

4. Kami menekankan bahawa adalah sangat penting untuk sesuatu Tuntutan Pembayaran itu mengandungi kesemua elemen-elemen yang telah ditetapkan di bawah s.5 (2) Akta. 

5. Mahkamah di dalam beberapa kes telah menyatakan dengan jelas bahawa pematuhan syarat-syarat kandungan Tuntutan Pembayaran itu adalah wajib, ketat dan mandatori. 

6. Mahkamah Rayuan di dalam kes View Esteem Sdn Bhd v Bina Puri Holdings Bhd menyatakan seperti yang berikut:

Arriving at CIPAA 2012 Adjudication Award is a two stage process. Parties at this stage may settle the matter and if the matter is not settled, the dispute as borned out in the payment claim and response can only be referred to the adjudicator. This is statutorily a strict requirement as set out in section 27, thereby making the first stage as important stage in the adjudication process.

7. Mahkamah Tinggi di dalam kes Giatreka Sdn bhd v SGW Engineering Construction Sdn Bhd telah menyatakan seperti berikut:

There is hence no doubt that compliance of the requirements set out in s.5(2) of the CIPAA is strict and mandatory.

8. Kegagalan untuk mematuhi syarat kandungan Tuntutan Pembayaran adalah kesilapan yang fatal. Bukan sahaja kegagalan tersebut boleh menyebabkan mana-mana amaun yang dituntut terkemudian, ditolak oleh Adjudikator bahkan lebih teruk ia boleh menyebabkan Prosiding dan Keputusan Adjudikasi di anggap sebagai terbatal (null) secara keseluruhan. 

9. Ini adalah sebagaimana dapatan Mahkamah Tinggi di dalam kes Terminal Perintis Sdn Bhd v Tan Ngee Hong Construction Sdn Bhd yang telah menyatakan seperti berikut:

It is part of the legislative intent that if there is non-compliance with a basic and essential requirement of CIPAA with respect to a payment claim under section5, the Adjudication proceedings and the Decision made would be a nullity. 

10. Tuntutan Pembayaran, selepas itu, hendaklah diserahkan kepada Responden (mengikut syarat yang ditetapkan di dalam s.38 Akta) dan anda perlu memastikan bahawa bukti penyerahan dapat diperolehi dan disimpan dengan sebaiknya.

11. Selepas Responden menerima Tuntutan pembayaran daripada Pihak yang Menuntut, Responden mempunyai 3 pilihan mengikut ketetapan s.6 Akta.

i) Responden menyediakan sejenis dokumen yang dipanggil Respons Pembayaran dan mengakui keseluruhan atau sebahagian tuntutan yang disampaikan kepadanya.

ii) Responden menyediakan Respons Pembayaran dan mempertikaikan keseluruhan atau sebahagian daripada tuntutan tersebut melalui Respons Pembayaran.

iii) Responden tidak berbuat apa-apa dan tidak menjawab Tuntutan Pembayaran tersebut.

Apakah dia Respons Pembayaran (Payment Responce)

12. Respons Pembayaran adalah sejenis dokumen yang menjawab segala dakwaan dan tuntutan-tuntutan yang di buat keatas Responden. Ianya berfungsi sebagai dokumen pembelaan terhadap kesemua tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh Pihak yang Menuntut.

13. Justeru itu, kami menekankan bahawa adalah sangat penting untuk Responden memastikan setiap satu tuntutan yang dibuat oleh Pihak yang Menuntut dijawab secara satu persatu secara terperinci.

14. Sekiranya Responden menafikan keseluruhan atau sebahagian tuntutan, pihak Responden perlu memastikan bahawa kesemua pembelaan-pembelaan yang ingin digunakan, telah dinyatakan di dalam Respons Tuntutan. 

15. Ketinggalan atau kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Adjudikator menolak untuk mengambil kira sebarang pembelaan baru yang ingin digunakan kemudian. Dalam erti kata lain, kesemua alasan-alasan di atas keengganan Responden untuk membuat pembayaran hendaklah dinyatakan.

16. Ini juga termasuk sebarang set-off atau tuntutan balas yang ingin dituntut terhadap Pihak yang Menuntut. 

17. Kesimpulannya, Tuntutan Bayaran dan Respons Bayaran adalah asas kepada sesuatu tuntutan pembayaran melalui CIPAA. Jadi amat lah penting pihak-pihak yang terlibat untuk menyediakan dokumen-dokumen ini dengan penuh teliti dan terperinci. 

18. Malah di dalam beberapa kes Mahkamah, sebarang kegagalan untuk mematuhi syarat-syarat kandungan dokumentasi mengikut s.5 dan s.6 Akta tidak boleh diperbetulkan melalui s.26 Akta yang memberi kuasa kepada Adjudikator untuk menganggap mana-mana kesilapan yang terkandung di dalam Tuntutan dan Respons Pembayaran sebagai ketidakaturan semata-mata.

19. Mahkamah Tinggi di dalam kes Broadway Power Sdn Bhd v Eden Construction menyatakan seperti berikut:

Applying the legal principles on 2. 26 CIPAA to the instant case, failure by the Plaintiff to state a due date for payment in the Payment Claim cannot, in my opinion, be regarded as a mere procedural irregularity that us pardonable or correctable, but one that concerns a mandatory requirement under para 5 (2) (a) CIPAA. Section 26 would not apply to such non-compliance.

20. Memastikan Tuntutan Pembayaran disediakan selaras dengan peruntukan akta bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan potensi keraguan semasa proses Adjudikasi, malah ianya untuk memastikan Adjudikator mempunyai bidang kuasa dan dapat membuat penilaian melalui kesemua penjuru fakta dengan sempurna dan teliti tanpa mengabaikan walau satu pun fakta yang anda rasakan penting untuk tuntutan atau jawapan anda.

21. Secara kesimpulannya kita boleh lihat bahawa peranan seorang konsultan adalah sangat penting bagi memastikan Tuntutan Pembayaran (dan juga Respons Pembayaran) telah memenuhi kehendak Akta memandangkan kegagalan mematuhi ketetapan mempunyai akibat yang merugikan anda kelak.


     

0 Komentar