NORCO CONSULT
  • Utama
  • ilmu legal
  • Kandungan
    • Pengenalan
    • Perkhidmatan
    • Hubungi
CIPAA melaka

 

KAJIAN KES TUNTUTAN CIPAA 2012 - IREKA ENGINEERING & CONSTRUCTION SDN BHD v PWC CORP SDN BHD

1. Kes ini adalah kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Oktober 2019. Kes ini sangat penting kerana kes ini menjadi panduan utama dan kata muktamad tentang persoalan yang sering diperdebatkan di kalangan pengamal undang-undang sejak Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012) diperkenalkan; adakah CIPAA tergunapakai untuk kontrak pembinaan yang dimasuki sebelum akta itu diperkenalkan dan dikuatkuasakan.

2. Kes ini, bersama satu lagi kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu kes Jack-In Pile (M) Sdn Bhd v Bauer (M) Sdn Bhd, telah menjadi kes penanda aras (landmark) terbaharu yang akhirnya memberikan kata putus kepada persoalan tersebut.

3. Sebelum daripada keputusan di Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ireka Engineering dan Jack-In Pile diperolehi, kes yang kerap menjadi panduan pengamal undang-undang adalah kes UDA Holdings Bhd dan Bisraya Construction yang telah dilaporkan pada tahun 2015 yang memutuskan bahawa CIPAA beroperasi secara retrospektif iaitu kebelakang.

4. PWC telah mendapat subkontrak-subkontrak daripada Ireka sebelum CIPAA berkuatkuasa. Di dalam setiap kontrak terdapat klausa yang membenarkan Ireka membuat set off silang kontrak (cross contract set offs) yang bermaksud apa sahaja jumlah bayaran yang perlu dibuat oleh PWC kepada Ireka boleh di set off untuk mana-mana tuntutan yang dibuat oleh PWC.

5. PWC telah memulakan prosiding Adjudikasi untuk bayaran yang tidak dibayar manakala Ireka memfailkan tuntutan balas untuk set off silang kontrak tersebut. Adjudikator telah membenarkan tuntutan PWC dan menolak tuntutan balas Ireka. Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan PWC untuk menguatkuasakan Keputusan Adjudikasi dan menolak permohonan Ireka untuk mengenepikannya. Ireka seterusnya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

6. Dapatan menarik yang dapat diperolehi daripada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes ini adalah seperti berikut:

(a) CIPAA boleh terpakai untuk keadaan berbilang (multiple) dan bersilang kontrak dan tidak terhad kepada satu kontrak sahaja.

(b) CIPAA terpakai secara prospektif (kehadapan) dan bukan retrospektif (kebelakang)

The CIPAA did not contain any express provision to say that Parliament intended it to operate retrospectively. hence, any construction contract entered into before the commencement of the CIPAA and any payment dispute arising under such contract were not governed by CIPAA.

(c) CIPAA bukan sekadar undang-undang yang memperkenalkan forum (platform untuk membuat tuntutan) baru, tetapi ianya undang-undang yang memberi kesan terhadap hak-hak substantif pihak-pihak yang terlibat. Oleh yang demikian CIPAA tidak boleh terpakai secara retrospektif yang akhirnya akan menafikan hak-hak subtantif pihak-pihak melalui kontrak yang ditandatangani sebelum penguatkuasaan CIPAA.

7. Mahkamah Persekutuan turut telah memberikan dapatan secara terperinci berkenaan dapatan Mahkamah Tinggi di dalam kes UDA Holdings.

8. Jadi kesimpulannya, apa sahaja kontrak pembinaan yang dimasuki sebelum CIPAA dikuatkuasakan, CIPAA tidak akan terpakai.

konsultan CIPAA

 


apa itu cipaa

 TANGGUNGJAWAB ADJUDIKATOR DI DALAM PROSIDING CIPAA

1. Setelah seorang Adjudikator di pilih, samada secara pilihan bersama atau dipilih oleh Pengarah AIAC di atas permintaan mana-mana pihak, samada Pihak yang Menuntut atau Responden, Adjudikator tersebut perlu menjalankan tanggung jawab selaras dengan peruntukan Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012). 

2. Melalui pembacaan menyeluruh Akta, kita boleh simpulkan bahawa tanggungjawab seorang Adjudikator sebagaimana yang dinyatakan di dalam Akta, di antara lainnya, adalah seperti berikut:

(a) Seorang Adjudikator, seawal mendapat cadangan untuk dijadikan sebagai Adjudikator, perlulah menyatakan samada beliau bersetuju atau pun menolak cadangan tersebut di dalam masa yang telah ditetapkan.

(b) Sekiranya beliau bersetuju dengan perlantikan tersebut, seorang Adjudikator perlu menyatakan cadangan terma-terma perlantikan beliau, termasuklah cadangan fi yang perlu dibayar oleh pihak-pihak secepat mungkin dan memberi tempoh masa yang wajar dan munasabah untuk pihak-pihak membuat keputusan.

(c) Setelah terma-terma perlantikannya dipersetujui oleh pihak-pihak, seorang Adjudikator perlu membuat suatu perisytiharan secara bertulis, mengikut s.24 Akta bahawa beliau tidak mempunyai sebarang percanggahan kepentingan (conflict of interest) di dalam kes tersebut, beliau akan bertindak bebas, tepat dan mengikut waktu yang ditetapkan serta akan mengelak dari melakukan perbelanjaan yang tidak perlu dan juga beliau akan mematuhi prinsip keadilan asasi (natural justice).

(d) Seorang Adjudikator juga perlu menjalankan tanggungjawabnya selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada beliau di dalam s.25 Akta serta ruang lingkup bidang kuasa sebagaimana yang dinyatakan di dalam s.27 Akta.

(e) Seorang Adjudikator juga perlu memastikan bahawa setiap arahan yang diberikan adalah jelas dan di dalam tempoh waktu yang ditetapkan oleh undang-undang.

(f) Seorang Adjudikator juga perlu memastikan bahawa setiap satu tuntutan dan juga pembelaan adjudikasi yang dinyatakan di dalam kertas kausa diberi penilaian dengan sempurna dan saksama.

(g) Seorang Adjudikator itu tidak membuat keputusan secara tidak wajar melalui fraud (penipuan) dan suapan (rasuah).

(h) Seorang Adjudikator juga perlu menjaga kerahsiaan maklumat proses Adjudikasi melainkan pengecualian yang di tetapkan di dalam s.20 Akta.

3. Kenapakah perlaksanaan tanggungjawab ini penting dan perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak? Ianya berkait rapat dengan elemen keadilan asasi. Majoriti besar kes-kes yang terpaksa di rujuk ke Mahkamah adalah disebabkan oleh pihak-pihak mendakwa bahawa tanggungjawab ini tidak di jalankan mengikut kehendak Akta dan keadilan asasi telah dinafikan.

4. Oleh yang demikian, bukan sahaja Adjudikator perlu menjalankan tanggungjawabnya mengikut ketetapan undang-undang, malah pihak-pihak yang terlibat di dalam proses Adjudikasi juga perlu memberi perhatian terhadap tugas-tugas yang dijalankan oleh Adjudikator bagi memastikan keputusan yang diperolehi adalah keputusan yang adil dan saksama.  

CIPAA Kelantan


CIPAA kelantan

PROSES PERLANTIKAN ADJUDIKATOR BAGI TUNTUTAN CIPAA 2012

1. Di dalam rencana yang lepas, kami telah memberikan penekanan terhadap proses penyerahan Notis Adjudikasi. Ini adalah kerana di dalam tempoh masa yang ditetapkan selepas proses penyerahan Notis Adjudikasi, pihak-pihak perlu melantik seorang Adjudikator.

2. S.21 Akta telah menjelaskan bahawa seorang Adjudikator boleh di lantik melalui salah satu daripada dua cara. Yang pertama adalah melalui perlantikan bersama. Perlantikan bersama ini boleh di lakukan apabila kedua-dua pihak yang terlibat di dalam proses Adjudikasi (Pihak yang Menuntut dan Responden) bersetuju untuk melantik Adjudikator yang sama.

3. Pihak yang menuntut hendaklah memberitahu Adjudikator yang hendak dilantik secara bertulis di dalam waktu yang ditetapkan dan memberikan sesalinan Notis Adjudikasi kepada beliau. Di dalam tempoh masa tersebut Adjudikator akan mencadangkan fi perkhidmatan beliau dan syarat-syarat lain perlantikan beliau. 

4. Adjudikator tersebut hendaklah memberikan jawapan terhadap perlantikan beliau di dalam masa yang telah ditetapkan. Sekiranya gagal memberikan jawapan di dalam tempoh masa tersebut, pihak-pihak boleh melantik Adjudikator lain ataupun menggunakan cara perlantikan yang kedua; meminta perlantikan di lakukan oleh Pengarah AIAC.

5. Perlantikan melalui Pengarah AIAC boleh dilakukan apabila (a) salah satu pihak di dalam proses Adjudkasi membuat permohonan perlantikan kerana tiada persetujuan di antara kedua-dua pihak untuk membuat perlantikan bersama; ataupun (b) mana-mana pihak membuat permintaan perlantikan.

6. Di dalam waktu yang ditetapkan, Pengarah AIAC akan melantik seorang Adjudikator selepas menerima permintaan daripada salah satu pihak. Makluman perlantikan tersebut akan diberitahu kepada pihak-pihak dan Adjudikator tersebut secara bertulis.

7. Sekali lagi, Adjudikator yang dilantik akan mencadangkan fi perkhidmatan dan syarat-syarat perlantikan beliau. Sekiranya tiada persetujuan di capai atau Adjudikator tersebut tidak memberikan jawapan, maka Pengarah AIAC boleh melantik Adjudikator lain. Proses sama akan diulangi sehingga terdapat persetujuan dan penerimaan di antara Adjudikator dan pihak-pihak yang terlibat.

tuntutan CIPAA kelantan

 

CIPAA kelantan

PERMULAAN ADJUDIKASI CIPAA MELALUI NOTIS ADJUDIKASI

1. Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA) telah memberikan hak kepada Pihak yang Menuntut untuk memulakan proses Adjudkasi terhadap Responden apabila Responden:

(a) Responden, melalui Respons Pembayaran, telah menafikan keseluruhan Tuntutan Pembayaran yang di buat terhadapnya;

(b) Responden, melalui Respons Pembayaran, telah menafikan sebahagian daripada Tuntutan Pembayaran yang di buat terhadapnya; atau

(c) Responden tidak memfailkan sebarang Respons Pembayaran yang memberi maksud bahawa keseluruhan Tuntutan Pembayaran adalah dinafikan.

2. Setelah tamat tempoh penyerahan Respons Pembayaran oleh Responden, atau tempoh masa untuk Responden menyerahkan Respons Pembayaran telah luput dan Responden masih gagal memfailkan Respons Pembayaran (keadaan c), maka Pihak yang Menuntut kini berhak untuk merujuk pertikaian kepada proses Adjudikasi selaras dengan peruntukan CIPAA.

3. Untuk merujuk pertikaian kepada proses Adjudikasi, Pihak yang Menuntut (ataupun Responden), hendaklah menyedia dan menyerahkan satu dokumen yang dinamakan sebagai Notis Adjudikasi. 

4. Notis Adjudikasi adalah sejenis notis bertulis tentang Adjudikasi yang perlu mengandungi, di antara lainnya, sifat dan perihal pertikaian dan remedi/pembayaran yang diminta berserta dengan dokumen-dokumen sokongan yang ingin digunakan.

5. Notis Adjudikasi ini perlu diserahkan kepada Responden. Penyerahan ini bertujuan untuk memberikan makluman kepada pihak Responden bahawa Pihak yang Menuntut berhasrat untuk memulakan prosiding Adjudikasi. 

6. Penyerahan Notis Adjudikasi ini amatlah penting kerana ia memberi isyarat bahawa tempoh masa-tempoh masa yang perlu ditepati oleh kesemua pihak termasuk Adjudikator bagi setiap proses seterusnya telahpun bermula.

7. Sesalinan Notis Adjudikasi ini juga perlu diserahkan kepada pihak AIAC.

8. Perkara utama yang tidak boleh diambil mudah sewaktu fasa Notis Adjudikasi ini adalah proses penyerahan Notis Adjudikasi. Ini kerana pematuhan cara penyerahan selaras dengan ketetapan undang-undang boleh dianggap sebagai mandatori. 

9. S.38 Akta telah memberikan panduan yang jelas berkenaan dengan bagaimana cara dan proses penyerahan ini boleh dibuat. Hubungi kami untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut.


CIPAA kelantan

 

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

RENCANA POPULAR

  • CIPAA 2012 - PEMAKAIAN DAN PENGGUNAAN
  • TUNTUTAN CIPAA 2012 - APA KELEBIHANNYA?
  • CIPAA 2012 - APA ITU CIPAA?
  • KAJIAN KES TUNTUTAN CIPAA 2012 - VISION DEVELOPMENT CONCEPT SDN BHD v LOW SHEH LING
  • TUNTUTAN CIPAA 2012 - PENDAFTARAN ADJUDIKASI

KATEGORI RENCANA

  • Kajian Kes 4
  • Rencana 19

ARKIB RENCANA

  • Januari 2021 (1)
  • Disember 2020 (6)
  • November 2020 (8)
  • Oktober 2020 (8)

CARIAN RENCANA

Pertanyaan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.


Hakcipta terpelihara. Tiada mana-mana bahagian dari laman ini boleh diterbit semula, dicetak, disalin dan disiar bagi apa-apa tujuan sekalipun tanpa kebenaran bertulis daripada pemegang hak cipta.

Copyright © NORCO CONSULT. Designed by OddThemes