AKTA COVID 19 (2020) DAN IMPLIKASINYA TERHADAP INDUSTRI PEMBINAAN

 

COVID ACT 2020 CONSTRUCTION INDUSTRY

IMPLIKASI DAN KESAN AKTA COVID-19 (AKTA LANGKAH-LANGKAH SEMENTARA BAGI MENGURANGKAN KESAN PENYAKIT KORONAVIRUS 2019) (2020) TERHADAP INDUSTRI PEMBINAAN.

1. Pada sekitar bulan Ogos, 2020, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (2020) (Temporary Measures for Reducing the Impact of Coronavirus disease 2019 Act). Pada 23 Oktober 2020, Akta Covid 19 (2020) telah diwartakan dan seterusnya dikuatkuasakan.

2. Bagi mengurangkan impak daripada pengaplikasian undang-undang yang berkaitan, beberapa Akta dan Ordinan telah diubahsuai melalui Akta Covid-19 ini dengan harapan ianya dapat memberi sedikit ruang dan keringanan kepada pihak-pihak yang terlibat yang mungkin berhadapan dengan pelbagai tindakan undang-undang dek tempias pandemik Covid-19 ini.

3. Di antara 16 Akta-Akta yang diubahsuai selaras dengan peruntukan Akta Covid ini adalah Akta Had Masa 1953, Akta Insolvensi 1967, Akta Sewa Beli 1967 dan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966. Pengubahsuaian ini akan berkuat kuasa selama dua tahun dari tarikh 23 Oktober 2020 (boleh baca DISINI).

4. Apakah implikasi penguatkuasaan Akta Covid-19 ini keatas industri pembinaan? Secara umumnya terdapat dua peruntukan khusus yang akan memberi kesan kepada industri Pembinaan.

(a) Pengenalan kepada Perkhidmatan Pengantaraan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19).

(b) Pengubahsuaian Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966.

Apakah itu Perkhidmatan Pengantaraan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19)? 

5. PMC-19 adalah satu platform yang telah diwujudkan untuk menyelesaikan pertikaian diantara pihak-pihak yang tidak dapat melaksanakan mana-mana kewajipan kontrak gara-gara Pandemik selama mana kontrak tersebut adalah terangkum di dalam ketegori kontrak di dalam Jadual Seksyen 7 Akta Covid-19 dan dengan nilai pertikaian sebanyak RM300,000.00 kebawah..

6.  Seksyen 9 Akta Covid-19 menggariskan bahawa apa-apa pertikaian berkenaan dengan apa-apa ketidakupayaan mana-mana pihak untuk melaksanakan kewajipan dan obligasi kontrak  disebabkan oleh Pandemik boleh menyelesaikan pertikaian tersebut melalui proses Pengantaraan (mediation) di mana sekiranya persetujuan dicapai melalui proses tersebut suatu perjanjian penyelesaian hendaklah ditandatangani oleh pihak-pihak dan disahkan oleh mediator yang di lantik.

7. Salah satu daripada 7 kategori kontrak yang disenaraikan di dalam Jadual Seksyen 7 Akta Covid-19 adalah kontrak kerja pembinaan atau kontrak perundingan pembinaan dan apa-apa kontrak lain yang berhubungan dengan pembekalan bahan, kelengkapan atau pekerja pembinaan yang berkaitan dengan suatu kontrak pembinaan.

8. Ini bermakna mana-mana pihak yang mempunyai pertikaian berkenaan dengan kerja dan rundingan pembinaan akibat daripada kegagalan perlaksanaan tanggungjawab kontrak disebabkan oleh perintah-perintah kerajaan yang berkaitan dengan pandemik dan amaun pertikaian tersebut tidak lebih daripada RM300,000.00, mereka mempunyai pilihan untuk merujuk pertikaian ke PMC-19.

Apakah Pengubahsuaian yang dilakukan melalui Akta Covid -19 keatas Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966?

9. Pengubahsuaian yang pertama adalah berkenaan dengan caj pembayaran lewat (late payment charges). S.34 Akta Covid-19 menyatakan bahawa sekiranya pembeli gagal untuk membuat apa-apa bayaran ansuran dari tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020, Pemaju tidak boleh mengenakan apa-apa caj pembayaran lewat keatas tunggakan tersebut.

10. Pengubahsuaian yang kedua adalah berkenaan dengan penyerahan milikan kosong (delivery of vacant possession) dan gantuirugi jumlah tertentu (liquidated ascertained damages). S.35 (1) Akta Covid-19 menyatakan bahawa tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020 tidak akan dikira sebagai masa penyerahan milikan kosong dan juga tidak dikira untuk tujuan pengiraan bayaran gantirugi LAD.

11. S.35 (4) Akta Covid-19 pula menyatakan sekiranya pembeli tidak boleh mengambil pemilikan untuk menduduki kediaman dari tarikh penyampaian notis pengambilan milikan kosong semasa tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020, pembeli tersebut tidak boleh disifatkan telah mengambil milikan kosong tersebut. 

12. Pengubahsuaian yang ketiga adalah berkenaan dengan tempoh liabiliti kecacatan (Defect Liability Period). S.36 Akta Covid menggariskan bahawa tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020 akan dikecualikan daripada pengiraan tempoh:

(a) tempoh pembeli menuntut liabiliti kecacatan terhadap pemaju; dan

(b) tempoh untuk pemaju menjalan kerja-kerja pembaikan kecacatan.

Akta Covid Construction Industry

   

0 Komentar